Friday 25 March 2011

 Saya telah membaca Memoirs Tun Dr Mahathir hingga ke Bab 9. Bab ini ialah berkenaan Zaman Dharurat di Malaya. Apabila Dharurat diisytiharkan saya berumur 6 tahun dan sudah pun mula bersekolah. Kampong saya di Hulu Yam Bharu Hulu Selangor adalah sebuah kawasan hitam. Pergerakan pengganas komunis sangat aktif dimasa itu dengan kemuncaknya pembunuhan Henry Gurney Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya  dalam perjalanan dari Kuala Kubu Bharu ke Frazer’s Hill. Peristewa ini tidak disebut oleh Dr Mahathir. Peristewa ini penting. Pertama ini menunjukkan perisikan kominis ini baik sekali. Mereka mengetahui pergerakan Gurney melalui tukang masak Cina yang berkerja dengan Gurney. Ini juga menunjukkan kelemahan perisikan British.

Kesan peristewa ini kepada Hulu Yam besar juga. Kerajaan berikhtiar untuk memujuk orang orang tempatan yang terdiri dari orang Melayu Cina dan India berkerjasama dengannya. Salah satu usaha diambil oleh Kerajaan ialah membuka sebuah kampong baharu yang dinamakan “Kampong Gurney” di Hulu Yam Bharu. Yang anihnya ialah kampong ini adalah untuk menempatkan orang Melayu yang tinggal ditempat tempat terpencil. Mungkin tujuannya untuk menyekat penduduk penduduk penduduk tersebut daripada membantu komunis dengan memberi makanan ubat dan lain lain keperluan kominis dalam hutan. Sebenarnya orang Melayu di Hulu Yam Bharu tidak menyokong kominis. Mungkin juga dengan cara ini Kerajaan berpendapat ia dapat memberi perlindungan kepada penduduk penduduk ini dari ancaman kominis. Yang agak menggelikan hati ialah kampong ini selepas beberapa waktu dikenali dengan nama “Kampong Gani”. Mereka sudah lupakan Henry Gurney.

Selepas Gurney, Gerald Templar menjadi Pesuruhjaya Tinggi British. Dia teruskan usaha mengambil hati penduduk penduduk.Satu  langkah yang diambilnya ialah mengambil beberapa orang pemuda daripada Hulu Yam menjadi “anak angkat”nya. Saya tidak tahu apa kemudahan yang mereka dapati. Tetapi salah seorang murid sekolah saya dipilih menjadi anak angkat Templar. Yang saya ingat dia berpeluang tinggal di rumah Pesuruhjaya Tinggi British iaitu King’s House di Kuala Lumpur. Mungkin satu lagi kemudahan yang didapatinya ialah senang masuk Malay Regiment apabila dia tamat Darjah 6.

Pesuruhjaya Tinggi British terakhir sebelum Mardeka pada tahun1957 ialah Donald McGallivery. Dalam rangka lawatannya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Malaya dia melawat sekolah saya Sekolah Menengah Melayu Ipoh. Sekolah ini pada tahun 1958 di tukar namanya kepada Sekolah Tuanku Abdul Rahman. Saya dipilih memberi ucapan selamat jalan kepada beliau. Fikirkanlah saya baharu sahaja belajar bahasa Inggeris beberapa bulan! Entah dia faham entah tidak apa yang saya ucapkan. Tapi satu perkara yang disebutnya saya masih ingat. Dia memberitahu bahawa apabila dia bersara dia akan tinggal di Kenya menjadi seorang peladang. 

Satu perkara yang tidak disentuh secara memdalam oleh Dr Mahathir ialah peranan orang Melayu dalam Parti Kominis Malaya pada masa itu. Khususnya peranan nama nama seperti Rashid Maidin Abdullah Sidi dan Shamsiah Pakekh. Saya teringat peristewa sebuah kampong Melayu bernama Kampong Jenderam di Selatan Selangor (sekarang dekat Bukit Ubggul Golf Club). Penduduk penduduknya disyaki menyokong kominis. Salah satu peristewa hitam ialah pembunuhan seorang guru Melayu disitu yang bernama Cikgu Karim. Dia berasal dari Hulu Yam. Tindakan Kerajaan berikutnya ialah menutup kampong ini dan menghantarkan penduduk penduduknya ke Camp Tahanan di Keluang Johor. Mereka  yang mempunyai keluarga di tempat tempat lain dibenarkan tinggal di tempat keluarga mereka. Ada beberapa keluarga yang berpindah dari Jenderam ke Hulu Yam.

Adalah eloknya kalau Dr Mahathir menceritakan apa yang dilakukan oleh Kerajaan kepada kominis kominis Melayu ini selapas dharurat ditamatkan. Kita mendengar Rashid Maidin dan Shamsiah Pakeh “dilarikan” dari negeri Cina ke Malaysia dan sekarang tinggal di Malaysia dengan nama baharu. Betulkah ini berlaku?

Satu lagi langkah diambil oleh Kerajaan untuk menyekat penduduk penduduk memberi  makanan kepada kominis di hutan ialah mengenakan pencatuan barang barang makanan seperti beras tepong dan gula. Tiap tiap keluarga dibenarkan membeli beras dan gula sebanyak yang ditetapkan oleh Kerajaan. Jumlah ini dicatitkan dalam kad. Penjual tidak dibenarkan menjual lebih daripada had yang ditetapkan. Tetapi penjual barang barang ini semuanya orang Cina. Tidaklah diketahui sama ada mereka mematuhi peraturan in. Saya sempat memerhatikan tiap tiap pagi penureh getah dipereksa oleh askar atau Special Constables (SC) sebelum mereka pergi menureh sama ada mereka membawa apa apa barang makanan atau ubat untuk kominis.

Kampong kampong baharu dan juga pekan yang kebanyakan  penduduknya orang Cina dipagar dengan pagar dawai berduri. Ini untuk menahan mereka keluar dari kampong atau pekan itu diwaktu malam semasa “curfew” dikuatkuasakan. Kesannya kepada penduduk kampong Melayu yang tidak dipagar ialah ini menahan kami masuk kepekan yang dipagar itu diwaktu malam. Ini mendatangkan masaalah kepada saya dan kawan kawan saya yang suka melihat wayang percuma di pekan. Filem ditayangkan dipekan oleh Film Unit atau Kelab Pekerja pekerja Syarikat Lombong. Ada satu kali apabila kami balik dari memnonton wayang dan cuba menyeludup keluar dari pekan melalui pagar dawai berduri yang telah dipecahkan kami disergah oleh askar yang diketuai oleh seorang pegawai British. Mereka mengacukan senapang dan mengatakan kami boleh ditembak kerana melanggar peraturan curfew. Tetapi kami sudahnya hanya diperentah tidur disurau di pekan itu dan hanya balik kerumah esok harinya.

No comments:

Post a Comment