Saturday 2 April 2011

Sambungan cerita Orang Boyan di Malaysia

Pagi tadi selepas solat subuh saya sempat bersembang dengan Penolong Imam kami. Namanya Redzuan. Dia meninggalkan Pulau Boyan semasa dia berumur 17 tahun pada tahun 1980.

Dia menceritakan sistem pendidikan di Boyan. Sistem pendidikan di Pulau Boyan bolehlah dikatakan pada keselurahannya sistem pesenteran. Katanya anak lelaki sejak umur 5 tahun lagi akan datang kesurau kampong itu yang juga menjadi bangunan pasenteran untuk solat berjemaah. Selepas solat mereka akan belajar membaca al Quraan dipimpin oleh pak kiyai. Selepas itu mereka akan mempelajari melalui membaca kitab kitab masyhor. Ini berjalan selama lebih kurang 4 jam. Kiyai ini tidak bergaji. Biasanya mereka agak kaya. Mereka mempunyai tanah sendiri yang mereka kejrakan untuk menanam padi dan bahan bahan makanan yang lain. Anak yang datang dari keluarga berada akan dihantar oleh keluarga mereka ke tanah besar Jawa seperti Surabaya untuk belajar dipasenteran yang lebih baik dan hingga keperengkat lebih tinggi daripada apa yang ada di Pulau Boyan. Anak yang tinggal ditempat yang jauh dari pasenteren boleh tinggal dipesenteren dan memasak makanan sendiri. Agaknya pasenteren ini hampir hampir sama dengan sekolah pondok di Malaysia tetapi lebih meluas lagi.
Selain daripada belajar dipesenteren yang hanya mengajar ilmu agama kanak kanak juga akan belajar di madrasah.Madrasah ini juga adalah institusi swasta yang diusahakan olih masyarakat setempat. Disinilah mereka belajar  mata pelajaran akedemik. Guru di madrasah ini didatangkan dari Pulau Jawa dan digaji oleh masyarakat. Saya bertanya tidak adakah sekolah kerajaan. Katanya ada tetapi hanya sebuah dua sahaja di kacamatan (daerah) nya. Juga katanya perbelanjaan pergi kesekolah kerajaan ini mahal.

Saya bertanya mengapa orang Boyan seperti juga orang Indonesia yang lain suka merantau ke Malaysia mahu pun Singapura. Jawabnya ialah untuk mengumpul wang. Di Boyan tidak ada kebuluran. Makanan melempah lempah katanya. Malah boleh dihantar kebahagian bahagian lain di Indonesia. Selain daripada bertani penduduk penduduk Boyan jua adalah nelayan untuk menambah sumber makanan. Walau bagaimana pun tidak ada peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang boleh mendapatkan wang. Ramai juga yang merantau dengan tujuan berhijrah ke Malaysia  atau Singapura dan menjadi penduduk tatap atau warganegara negara negara tersebut. Ini adalah untuk tujuan mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Redzuan datang ke Malaysia pada awal tahun 1980an. Pada masa itu katanya senang dapat kad pengenalan merah dan dapat pekerjaan secara halal. Dia seperti juga pendatang pendatang Boyan yang lain berkerja sebagai buruh binaan di projek pembangunan Kuala Lumpur International Airport (KLIA). Dia berkerja dengan sub kontaktor Cina. Majikannya itu kemudian terlibat dalam kerja “renovation” untuk Hong Leong Bank. Dia terus mengikut majikannya. Oleh sebab ketaatan dan kerajinannya majikannya menaikkan jawatannya kepada jawatan pemandu lori setelah dia berjaya mendapat “lesen besar”nya. Redzuan semasa menjalankan tugasnya sebagai pemandu van dan lori majikannya berkenalan dengan pegawai pegawai Bank.

Setelah berkerja dengan majikanya lebih 10 tahun majikannya itu memberitahunya bahawa dia ingin memberhentikan perniagaan kontrak binaan dan pengangkutanya dan akan memulakan perniagaan baharu yang lain. Majikannya menawarkan kepadanya vannya itu sebagai membalas ketaatan dan kejujuranya semasa berkidmat denagan majikan itu. Bila saya tanya mengapa dia bernasib begitu baik. Itu katanya mungkin balasan daripada Allah diatas kejujurannya kepada Allah. Dia berkata kalau kita beribadat dengan jujur kepada Allah dan jujur sesama manusia terutama kepada majikan insyaAllah Allah akan membalasnya.

Pegawai Bank yang kenal mutu perkhimatan dan kejujuran Redzuan menawarkan kepadanya perniagaan yang dulunya dijalankan oleh majikannya itu. Redzuan seolah olah tidak percaya oleh sebab dia bukan warganegara dan seorang Melayu. Tidak ada orang Melayu sendiri yang dapat tawaran memberi perkhidmatan pengangkutan kepada Bank itu sebelum ini. Pegawai Bank itu juga seorang Melayu berjanji menolongnya menjalankan perniagaan itu.  Dia menubuhkan sebuah syarikat dan menerima tawaran Bank itu untuk memberi perkhidmatan penjagaan setor dan pengangkutan. Katanya sekarang ini sudah hampit 10 tahun dia menjalankan perniaagaan itu. Dia berasa sangat selesa dengan perniagaannya ini.

Perkhidmatan yang ditawarkan oleh Syarikat Redzuan kepada Bank itu agak menarik. Dia diberi kontark menyelenggarakan sebuah setor kepunyaan Bank itu. Setor itu ialah untuk menyimpan rekod rekod dan dokumen dokumen yang tidak diperlukan Bank ketika itu. Untuk perkhimatan ini Redzuan dibayar bayaran tetap RM 1500 sebulan. Selain daripada itu dari masa kesemasa dia akan diminta mengambil barang barang dan dokumen dokumen dari satu cawangan dan dihantar kecawangan lain, atau dari Ibupejabat kecawangan. Atau dia diminta mengambil kotak kotak yang berisi barang barang dan dokumen dokumen dan disimpan di setornya. Kerja ini agak berat katanya. Untuk perkhidmatan ini dia dibayar pada kadar kadar tertentu. Pendapatanya agak lumayan. Dia boleh mendapat di antara RM 2000 hingga RM 10000 sebulan.

Sebagai menunjukkan kepercayaannya kepada pendidikan pasenteren dia menghantar empat orang anaknya belajar di pasenteren di negeri Jawa. Hanya anak bongsunya sahaja yang belajar di sekolah kebangsaan di sini.

Redzuan mengakui sekarang ini orang orang Boyan di negeri asal mereka dan juga di Malaysia terutama pemuda pemudi telah sedikit sebanyak dijangkiti oleh cara hidup Barat. Di Pulau Boyan mithalnya dahulu di majlis perkhwinan tidak ada permainan pancaragam dan tarian. Ini adalah pengaruh orang orang Jawa yang berhijrah ke Pulau Boyan. Begitu juga di majlis perkahwinan orang Boyan di Malaysia. Tuan rumah akan mengundang kumpulan pemuzik dan penari yang terdiri dari orang orang Jawa untuk membuat persembahan musik dan tari menari. Redzuan tidak merestui perkembangan ini. Tetapi apa boleh buat! Katanya mengeluh.



2 comments: