Tuesday 26 April 2011

HAMPIR HAMPIR TIDAK JADI PEGUAM



Saya bernasib baik ditawarkan biasiswa Kerajaan Persekutuan untuk belajar di perengkat Universiti di United Kingdom (UK) dalam pertengahan tahun 1963. Masa itu saya masih lagi berada dalam Tingkatan Enam Atas di Sekolah Tuanku Abdul Rahman Ipoh. Tawaran itu dibuat berdasarkan keputusan peperiksaan  Cambridge School Certificate (1961) dan keputusan ramalan peperiksaan Cambridge Higher School Certificate tahun itu. Saya juga telah ditemuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Tawaran biasiswa itu tertakluk kepada saya lulus peperiksaan HSC dengan baik dan diterima masuk ke sebuah Universiti di United Kingdom untuk pengajian ijazah serjana muda.

Saya pun membuat permohonan kebeberapa buah Universiti terkemuka di UK. Dengan bantuan Pejabat Penuntut Penuntut Malaysia di London dan British Council di Kuala Lumpur saya membuat permohonan untuk masuk ke King’s College University of London. Saya difahamkan bahawa saya tidak layak untuk memohon masuk ke Universiti Cambridge atau Oxford oleh sebab saya tidak mempunyai kelulusan dalam Bahasa Kelasik seperti Latin dan Greek. Universiti London adalah Universiti terbaik selepas Universiti Cambridge dan Oxford dalam bidang undang-undang. Satu perkara yang menarik ialah tawaran biasiswa itu tidak mensyaratkan mata pelajaran yang saya mesti ikuti di Universiti.Apa apa ijazah serjana muda dengan kepujian dibenarkan. Saya memang minat untuk mempelajari ilmu undang-undang dan saya kira saya mempunyai kelayakan dan perwatakan untuk menjadi seorang peguam. Saya mempunyai keputusan baik dalam kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris dan Metamatik. Saya suka berpidatu dan mewakili Sekolah dalam debat Melayu dan Inggeris. Saya berjaya dalam permohonan saya dan diberi tawaran masuk ke King’s College London untuk mengikuti pengajian Bachelor of Laws dengan syarat saya lulus dengan baik dalam peperiksaan HSC. Saya dikehendaki mendapat  sekurang-kurangnya pangkat   B dalam tiga mata pelajaran dalam peperiksaan tersebut. Alhamdulillah saya mendapat kelulusan yang lebih baik sedikit daripada itu.

Saya berangkat ke London dalam bulan September 1963 untuk memulakan pengajian saya dan mendaftar di King’s College. Setelah berada di London beberapa bulan saya mendapat tahu daripada rakan rakan yang mempelajari  Undng-undang bahawa rancangan saya belajar hingga keperingkat ijazah LL.B sahaja adalah tidak mencukupi untuk menjadi seorang peguam di Malaysia. Malahan ijazah tersebut tidak diiktiraf untuk memasuki profesyen undang-undang di Malaysia. Saya tiaklah begitu  terkejut. Saya  faham bahawa saya dihantar belajar ke Universiti ialah untuk mendapat ijazah dengan kepujian untuk melayakkan saya berkhidmat dengan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik. Namun begitu saya dinasehatkan oleh rakan rakan untuk melengkapkan pengajian saya dengan mendaftar dengan salah sebuah “Inns of Court” di London dan mengambil peperiksaan “Bar Final “. Ada empat Inns of Court di London iaitu Lincoln’s Inn, Inner Temple, Middle Temple dan Gray’s Inn. Saya dengan perbelanjaan sendiri memasuki Lincoln’s Inn untuk mendapatkan kelulusan profeyenal undang-undang yang melayakkan seseorang untuk menjadi seorang peguam.

Saya lulus peperiksaan Universiti London dan diangerahi Bachelor of Laws (Hons. - Second Class Lower). Alhamdulillah. Pengajian di Inn’s of Court adalah lebih menarik dan berwarna warni. Mulai tahun dua di Universiti saya perlu pergi ka Lincolns Inn tiga malam dalam satu penggal untuk makan bersama-sama penuntut penuntut lain dan peguam peguam Inggeris dalam satu majlis makan malam formal. Semua yang hadzir mesti memakai ‘gown’ khas Inn tersebut. Selepas makan kadang kala ada ucapan berkenaan  undang-undang yang disampaikan oleh peguam peguam terkemuka. Ada kalanya Ketua Resmi Inn tersebut akan hadhir. Bagi Lincoln’s Inn beliau pada masa itu ialah Queen Mother. Ada juga “Benchers” Inn tersebut akan hadzir. “Benchers” adalah Hakim dan peguam kanan yang dilantik sebagai mnghormati kejayaan mereka dalam bidang undang-undang yang telah belajar di Inns tersebut. Keperluan menghadiri makan malam ini adalah diwajibkan. Untuk layak menduduki pepereksaan akhir  (Bar Final Examination) seseorang calun itu mestilah telah menghadiri makan malam sebanyak tiga kali  dalam satu penggal dan selama dua tahun. Tujuan makan malam ini ialah untuk membolehkan penuntut penuntut berkenalan dengan lebih rapat diantara satu sama lain dan mengenali peguam peguam yang sudah pun menjalankan ‘practice’ dan Hakim Hakim.

Apabila saya menerima ijazah LL.B (Hons.) satu masaalah besar timbul. Saya diminta pulang ke Malaysia dengan segera oleh sebab saya telah mencapai kelayakan yang diperlukan untuk berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan. Saya tidak perlu meneruskan pelajaran keperingkat Bar Final Examination.  Saya fakir- fikirkan dan memutuskaan untuk meneruskan pelajaran saya. Nasib saya agak baik juga kali ini. Pada masa itu Perdana Menteri  kita YAB Tunku Abdul Rahman Putra sedang menghadiri Mesyuarat Perdana Perdana Menteri Commonwealth di London. Saya beranikan hati saya untuk berjumpa beliau untuk merayu kepadanya. Saya pergi ke York House di London dimana beliau tinggal tetapi saya tidak dibenarkan berjumpa dengan beliau oleh sebab beliau sedang tidor!  Tetapi saya  dinasehatkan oleh Setiausaha Sulitnya Dato’ Nik Hassan untuk menulis surat kepada beliau. Saya pun tulis surat itu dan serahkan kepada Setiausahanya itu. Saya terpaksa berkerja sebelah siang untuk menyara hidup saya oleh sebab biasiswa saya sudah diberhentikan. Walaubagaiman pun tidak lama lepas itu saya menerima surat  daripada Setiausaha Sulit Tunku mengatakan bahawa Tunku yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet berkenaan Biasiswa sangat simpatatik kepada rayuan saya itu dan membuat keputusan membenarkan rayuan saya apabila dia kembali ke Malaysia. Saya tunjukkan surat itu kepada Pengarah Jabatan Jabatan Penuntut Penuntut Malaysia di London, Encik Ng Cheng Hong. Dia mengatakan itu janji orang politik dan jangan dipercayai sangat. Selepas beberapa bulan, saya menerima panggilan  talipon daripada isteri saya yang berkerja di Jabatan Penuntut London bahawa Jabatan telah menerima telegram dari JPA di Kuala Lumpur meluluskan rayuan saya untuk meneruskan pelajaran saya keperengkat Bar Final Examination. Dengan kelulusan saya yang baik diperengkat LL.B. saya diberi pengecualian daripada menduduki peperiksaan Bahagian Satu dan Dua dan dibenerkan terus menduduki Peperiksaan Akhir Bar. Saya menduduki peperiksaan itu pada pertengahan tahun 1964 dan lulus. Sehingga hari ini saya sangat berterima kasih kepada arwah Tunku Abdul Rahman diatas pertolongan beliau yang membolehkan saya menjadi seorang peguam.

Dengan kelulusan Final Bar Examination saya menerima ijazah “Utter Barrister” dan diterima masuk sebagai peguam oleh Lincoln’s Inn. Dalam bahasa Inggeris “I was called to the Bar by  Lincoln’s Inn”. Dengan itu sempurnalah pengajian undang-undang saya.



2 comments:

  1. Sebagai seorang anak kampung merantau jauh mencari ilmu dan berjaya dalam pencapaiannya, saudara menjadi salah satu lambang kejayaan bagi yang mencetuskan ide penubuhan STAR. Tak ramai anak marhaen sampai ke situ dalam era 60'an, Hanya anak golongan atasan terutamanya lepasan MCKK yang menyeberangi lautan mencari ilmu ketika itu. Syabas kerana berjaya dalam pelajaran dan berjaya dalam hidup.

    matjenin (AO)

    ReplyDelete
  2. Semestinya saya berasa bertuah dan bersyukur kepada Allah swt. Masakan seorang budak kampong anak yatim pula boleh menjadi peguam kalau tidak kerana penentuan Allah.
    Saya ucapkan terima kasih di atas komen tuan.

    ReplyDelete